P Ramlee Seniman Agung Tanpa Ganti

06/03/2015 13:05

 “Hei sapa kau”.. “Akulah king”.. “King apa”.. “King kong”. Masih ingat lagi dialog antara Datuk Aziz Satar bersama Tan Sri P Ramlee menerusi filem Seniman Bujang Lapok yang ditayangkan pada sekitar tahun 1961? Dialog di atas merupakan antara dialog yang menjadi ikutan ramai terutama daripada generasi muda. Siapa tidak mengenali Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang kaya pelbagai genre filem dan koleksi lagu-lagunya yang sungguh puitis, bukan sahaja terkenal di Malaysia malah filem-filem dan koleksi lagu-lagu beliau turut berjaya menembusi pasaran Eropah. Walaupun hasil filem dan lagu-lagu P Ramlee boleh dikatakan berada di tahap klasik, namun filem-filem, lagu-lagu P Ramlee masih lagi menjadi siulan dan dendangan di merata tempat hingga ke hari ini. Begitulah aura dan penangan hasil sentuh seniman agung berkenaan.Walaupun P Remlee telah meninggalkan peminat setianya lebih 30 tahun, namun hasil karyanya terus mendapat pengiktirafan dari semua lapisan masyarakat.

Siapakah P Ramlee

Nama sebenar P Ramlee ialah Teuku Nyak Puteh Teuku Karim, yang di lahirkan di Pulau Pinang pada pagi hari raya pada tanggal 22 Mac 1929. Selain itu, P Ramlee juga mempunyai seorang adik tiri yang bernama Syeikh Ali. P Ramlee mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian beralih ke Sekolah Kebangsaan Francis Light. Seterusnya, P Ramlee menyambung pengajian di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, P Ramlee telah belajar di Sekolah Tentera Laut Jepun sebelum kembali semula ke Penang Free School setelah tamat peperangan.

Permulaan Kerjaya P Ramlee

P Ramlee merupakan sebuah nama besar yang diakui oleh semua pihak. Tidak ada siapa pun yang mempertikaikan kebolehan beliau dalam menghasilkan filem mahupun lirik lagu. Walaupun P Ramlee berjaya muncul sebagai seniman rakyat dalam era 50-an hingga 60-an, namun ramai yang tidak mengetahui siapakah yang bertanggungjawab membawa nama besar P Ramlee ini hingga menjadi seorang seniman yang agung. Kerjaya seni P Ramlee bermula sebagai pelakon di dalam filem Laila Majnun 1933 arahan B.S Rajhans, merupakan pengarah yang berasal dari India. B.S Rajhans telah pulang ke India dan kembali semua ke Tanah Melayu pada tahun 1947 dan menghasilkan filem Singapura Di Waktu Malam, Cempaka Pisau Beracun, dan Cinta 1948. B.S Rajhans telah mengetengahkan P Ramlee sebagai pelakon bersama-sama pelakon-pelakon yang boleh dikira sebagai nama-nama besar ketika itu seperti S. Roomai Noor dan Kasma Booty. P Ramlee telah muncul sebanyak 63 buah filem sepanjang beliau bergiat sebagai anak seni, dan filem terakhir lakonan dan arahannya ialah Laksamana Do Re Mi 1972. Daripada 63 filem tersebut P Rameel sempat mengarah sebanyak 34 filem daripadanya.

Keistimewaan P Rameel

Mungkin di antara kita masih tertanya-tanya mengapakah filem mahupun lagu-lagu hasil olahan Tan Sri P Rameel masih lagi di minati oleh segenap lapisan masyarakat dari peringkat kanak-kanak hinggalah ke golongan dewasa dan tidak keterlaluan dikatakan menjangkaui pelbagai kaum di Malaysia. Walaupun P Ramlee telah meninggalkan kita lebih 30 tahun namun hasil karyanya masih lagi mendapat tempat di hati peminat-peminat setia beliau. Salah satu punca populariti P Ramlee ialah sikap dan peranan beliau yang sentiasa memperjuangkan nasib golongan rakyat kecil. Boleh dikatakan kebanyakan filem-filem P Ramlee mengetengahkan nasib golongan bawahan yang mana pada ketika itu masyarakatnya sangat direncam dengan status dan kedudukan kekayaan. Hal ini disebabkan pada era sezaman P Ramlee golongan-golongan ini dipandang tidak beberapa penting di dalam masyarakat, manakala golongan atasan pula digambarkan sebagai golongan yang lebih berbangga dengan kekayaan yang sedia ada dan sentiasa menjaga status kehormat yang dimiliki. Melalui fenomena dan elemen-elemen sedemikian, P Ramlee mengambil elemen tersebut dan digunakan sebagai bahan cemuhan dan sindiran oleh P Ramlee menerusi filem-filem arahannya. Contoh cemuhan dan sindiran tersebut dapat kita amati melalui filem Penarik Beca, Ibu Mertua Ku, Labu Labi, Antara Dua Darjat, Tiga Abdul dan banyak lagi.

Satu perkara yang menarik minat saya berkenaan P Rameel adalah sikap dan personaliti beliau yang sentiasa menerima pandangan rakan-rakan sekerja dan berfikiran secara terbuka dalam menerima kritikan. Walaupun P Ramlee merupakan seorang pengarah yang disegani dalam era 50-an dan 60-an,namun ia tidak membataskan sikap P Ramlee untuk terus menerima teguran dan kritikan berkenaan hasil karyanya. Selain itu, P Ramlee juga boleh di sifatkan sebagai seniman yang berfikiran kritis dan kritikal dalam melihat dan mengolah nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung di dalam masyarakat Melayu. Hal ini dapat kita lihat beberapa buah filem hasil arahan beliau yang banyak mengkritik secara sinis sifat buruk masyarakat Melayu yang sezaman dengannya seperti dalam filem Tiga Abdul yang mana Abdul Wahab dan Abdul Wanib yang digambarkan sebagai manusia yang sangat mementingkan harta kekayaan berbanding hubungan sesama darah. Pada pengakhiran penceritaan adik yang bongsu kepada Abdul Wahab dan Abdul Wanib iaitu Abdul Wahub telah menyedarkan kedua-dua abang kandungnya bahawa harta kekayaan yang melimpah ruah tidak boleh sama sekali membeli kasih sayang sesama manusia. Walaupun filem Tiga Abdul boleh diklasifikasikan sebagai filem berunsur jenaka, namun filem ini sarat dengan pesan-pesanan dan sindir-sindiran yang berguna kepada masyarakat, terutamanya dalam masyarakat Melayu.

Ditambahkan lagi, bagi menjamin kualiti filem dan lagu-lagu hasil karyanya, P Ramlee sentiasa melakukan penambahbaikan dari segi plot, bentuk cerita, dan susunan babak. Hal ini dapat kita lihat di dalam pelbagai filem hasil sentuh beliau dari filem bercorak serius, sindiran kepada golongan tertentu kepada filem-filem yang bercorak komedi, namun sarat dengan nilai - nilai kemanusiaan. Filem komedi pertama P Ramlee ialah Bujang Lapok, diikuti Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Nujung Pak Belalang, Labu Labi, Nasib Labu Labi, Do Re Mi, Laksamana Do Re Mi dan Tiga Abdul. Pelbagai bentuk cerita ini adalah hasil pengamatan P Ramlee semasa pembikinan filem dan juga memenuhi selera penonton yang datang dari pelbagai latar belakang berbeza, di samping P Rameel tidak mahu menghasilkan filem bercorak statik semata-mata.

Kalau dilihat perkembangan penghasilan filem pada era 1950 -an hingga 1960-an boleh katakan bahawa perjalanan penghasilan filem pada tahun berkenaan boleh dikatakan agak suram. Hal ini dapat kita dilihat apabila Nordin Ahmad yang hampir-hampir kecundang dalam pentas lakonan selepas filem Permata di Lembah Pantai arahan Haji Mahadi. Namun, kehadiran P Ramlee di pentas lakonan seterusnya ke dunia perfileman telah mengubah segala persepsi dunia perfileman Melayu. Hal ini disebabkan, P Ramlee boleh dikatakan sebagai pelampung penyelamat kepada dunia perfileman Melayu pada waktu berkenaan. P Ramlee telah membawa dan menyuntikkan semula kebangkitan nama-nama besar pelakon-pelakon Melayu tanah air ketika itu, seperti Jins Samsuddin, Ahmad Mahmud, Nordin Ahmad, Saadiah, Sarimah, Hashimah Yon, Rosyatimah, Aziz Satar, A. R Tompel, Ahmad Nisfu, Udo Umar (Haji Bakhil), Wak Mustarjo, dan ramai lagi. Melalui filem - filem arahan P Ramlee, nama - nama pelakon ini telah melonjak di persada tanah air dan dikenali oleh ramai peminat. Contohnya Udo Umar amat sinonim dengan panggilan Haji Bakhil menerusi filem Labu Labi, Wak Mustarjo dikenali oleh ramai peminat melalui filem Pendekar Bujang Lapok, Ahmad Nisfu amat dikenali sebagai seorang director yang pemarah, terutama melayani gelagat Sudin, Ajis, dan Ramlee di dalam filem Seniman Bujang Lapok. Manakala, Sarimah terkenal melalui filem Ali Baba Bujang Lapok. Melalui kejayaan lakonan Sarimah menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok, Sarimah terus diberi kepercayaan oleh P Ramlee untuk memegang beberapa watak - watak penting dalam filem arahannya seperti watak Sabariah di dalam filem Ibu Mertua Ku, Puan Rohani isteri ketiga Encik Jamli dalam filem Madu Tiga. Beberapa pelakon ini telah berjaya dibentuk di bawah bimbingan oleh P Ramlee, dan tidak keterlaluan juga dikatakan bahawa P Ramlee telah berjaya membawa imej filem-filem Melayu ke satu punca kegemilangan. Buktinya melalui filem Pendekar Bujang Lapok, P Ramlee telah berjaya menggondol anugerah The Best Comedy Film in Asia pada tahun 1959.

Namun, menjadi hukum alam yang mana setiap yang bermula akan berakhir, begitu juga dengan usia manusia yang hidup pasti kembali kepada maha penciptaNya. Tahun 2012 genaplah usia 39 tahun pemergian seniman agung Tan Sri P Ramlee yang amat sinonim dengan panggilan seniman rakyat. Walaupun P Ramlee telah lama meninggalkan kita, namun hasil karyanya tetap lagi utuh dalam ingatan peminat-peminat setia P Ramlee. Bermula dari filem-filem lakonannya hingga kepada lagu-lagu nyanyiannya. Boleh dikatakan P Ramlee layak di nobatkan sebagai seniman agung tanpa ganti. Hal ini disebabkan, kita masih lagi belum menjumpai seniman setanding P Remlee. Al Fatihah buat roh Allahyarham Tan Sri P Ramlee semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang orang beriman. Amin.

Artikel ini telah diterbitkan di dalam Sinar Harian Online pada 19 Jun 2012

Sumber: https://roketilmu.blogspot.com/2012_06_01_archive.html